BUKIT MERTAJAM – Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan membangunkan Pulau Pinang untuk semua kaum tanpa mengira jurang miskin dan kaya sekiranya berjaya tawan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan pihaknya mendapati tiada sebarang pembangunan demi kepentingan rakyat dilaksanakan sejak pentadbiran DAP sehingga kini.
Selain itu, beliau turut menyifatkan undian kepada parti DAP diberikan berikutan rakyat negeri ini tidak mempunyai alternatif lain.
“Saya beri jaminan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN bahawa rakyat di negeri ini bebas hidup di sini tanpa mengira kaum sekiranya kita (PN) mengambil alih Pulau Pinang.
“Malah pada pandangan saya, orang Pulau Pinang bukan fanatik sangat dengan DAP. Jadi mari kita sama-sama kalih (tukar) pentabiran baru pada PRN nanti agar negeri ini mampu didiami orang miskin juga,” katanya ketika berucap pada ceramah Himpunan Jentera Pilihan Raya PN Pulau Pinang di Kubang Semang di sini malam tadi.
Tambah Muhammad Sanusi, kemajuan dan pembangunan yang dikecapi negeri ini adalah di era pemerintahan parti Gerakan.
Beliau turut mendakwa, pimpinan DAP terlibat rasuah membuat mereka boleh bersekutu dengan UMNO meskipun dahulu parti itu digelar Kluster Mahkamah.
“DAP claim bawa kemajuan, pembangunan di Pulau Pinang jadi saya nak minta carikan satu projek yang dibina untuk kepentingan rakyat negeri ini.
“Jika dibahas isu terowong, ia masih ada dalam rumah Lim Guan Eng belum diselam di dasar laut namun dipercayai RM300 juta berubah tangan ketika kajian kebolehlaksanaan projek itu di dilakukan.
“Depa duk heran (pelik) DAP boleh pakat (bersama) UMNO sedangkan dua-dua parti itu semacam (sama). Jadi hampa (rakyat) nak kata DAP bersih? Hari apa dia bersih?” soal Muhammad Sanusi. – MalaysiaGazette