Pemandangan selepas gempa bumi di Kahramanmaras , Turkiye.

KAHRAMANMARAS (TURKIYE) – Tarikh 6 Februari lalu pasti tidak dapat dilupakan penduduk Turkiye terutamanya yang tinggal di wilayah selatan, Kahramanmaras.

Kisah duka yang menyayat hati penduduk di sini masih bersisa selepas ditimpa gempa bumi paling kuat dalam tempoh 100 tahun lalu.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 21,848 orang terbunuh manakala 80,104 yang lain cedera sejak gempa bumi berpusat di wilayah bersempadan utara Syria.

Pemandangan selepas gempa bumi di Kahramanmaras , Turkiye.

Melewati tempoh empat bulan selepas bencana itu, pemandangan yang tenang kelihatan hari ini di wilayah Kahramanmaras mula jauh berbeza di mata penduduknya.

Ini kerana kesan awal gempa itu sebelum ini, sebahagian bandar di sini hampir lumpuh apabila keadaan rumah dan bangunan yang ranap, pokok-pokok besar tumbang dan bangunan yang bertahan hanyalah yang mempunyai struktur binaan yang benar-benar kukuh sahaja.

Namun selepas gegaran maut yang turut menimpa utara Syria itu, dunia pantas datang membantu dalam usaha memberi bekalan asas dan pembangunan awal.

Ketika ini serpihan kemusnahan sudah dibersihkan dan mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal masih berteduh di pusat-pusat perlindungan sementara selain menginap di rumah kontena yang disumbang pertubuhan bukan kerajaan luar negara termasuk dari Malaysia.

Hari ini juga jalan-jalan raya kembali sibuk walaupun sesekali agak lengang di sebahagian lokasi manakala kedai yang terkesan sudah dibangunkan dan kembali beroperasi.

Bangunan yang runtuh pula masih kelihatan kesannya apabila kosong tanpa berpenghuni namun keadaan sekeliling sudah dibersihkan dan kelihatan lapang tanpa lagi tinggalan runtuhan.

Keadaan yang sama kelihatan di tepi jalan apabila gerai-gerai mula meriah menjual pelbagai barangan sama ada hasil tanaman atau pun aiskrim.

Sebahagian proses pembangunan dilihat memberi petanda kemakmuran buat Kahramanmaras untuk bangkit semula.

MalaysiaGazette satu-satunya media yang berpeluang melihat semua pemandangan itu apabila mengikuti misi bantuan kemanusiaan pasca mangsa gempa bumi di Turkiye sejak semalam anjuran PasRelief.

Entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa milik Pas itu bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara sejak 2017.

Turut hadir pada misi ini adalah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Matpiah yang juga Pengarah Sekretariat Tabung Aid4Turkiye&Syria.

Sebelum ini, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberitahu, gempa bumi kuat termasuk satu susulan yang melanda selatan negaranya adalah tiga kali ganda lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara iaitu di barat laut negara itu pada tahun 1999.

Bencana di Kahramanmaras itu juga juga direkodkan sebagai bencana yang jauh lebih besar dan lebih merosakkan daripada gempa bumi Erzincan 1939.

Gempa Erzincan di timur Turkiye sebelum ini meragut kira-kira 33,000 nyawa, manakala gempa bumi Marmara 1999 meragut kira-kira 18,000. – MalaysiaGazette