KUALA LUMPUR – Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Pas didakwa menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan kerana mahu memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
Sebaliknya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, tindakan tersebut dibuat kerana menerima janji lumayan.
“Papagomo (Muhammad Azri) dan Pas harus akui bahawa mereka menyokong Dr Mahathir bukan kerana perjuangannya untuk bangsa Melayu tetapi kerana janji lumayan yang beliau taburkan. Apa agaknya yang Dr Mahathir janjikan ya?” soalnya dalam hantaran.
Sebelum itu Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo dalam hantaran di media sosial membuat pengumuman untuk kembali aktif dalam politik selepas digantung keahlian UMNO selama enam tahun sejak September 2021.
Nazar beliau sejak digantung tidak memotong rambut dan jambang ‘selagi tidak mempunyai tugas rasmi untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air’ ditunaikan Dr Mahathir yang memotong sedikit rambutnya semalam.
Menurut Azri, beliau kini telah menerima panggilan rasmi untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.
Lokman secara sinis berkata, beliau ingin ketawa selepas semua yang mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir menggunakan alasan menyokong bekas perdana menteri itu kerana perjuangannya untuk orang Melayu.
“Nak tergelak pun ada dengan kegilaan mereka mengampu bapa perpecahan Melayu ini. Bukan sahaja slogan hendak membela Melayu ini tak masuk akal untuk dikaitkan dengan manusia yang selalu menghina Melayu dengan label pemalas, mentaliti subsidi dan sebagainya ini.
“Takkanlah Gomo dan Pas tidak boleh fikir langsung betapa gagalnya Dr Mahathir membela nasib orang Melayu ketika beliau jadi perdana menteri 22 tahun?
“Jika Dr Mahathir bela nasib orang Melayu, tak adalah ekuiti Bumiputera tahun 1981 hanya 18 % dan bila dia berhenti jadi perdana menteri tahun 2003 masih lagi 18%. Satu peratus pun tak bertambah ekuiti Bumiputera zaman Mahathir, yang kaya hanya kroni terapatnya,” dakwanya.
Pada 3 Mei lalu media melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu telah menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan Dr Mahathir.- MalaysiaGazette