Abdul Fattah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Felda Sungai Koyan III Raub Berhad ke-46 di Sungai Koyan, Pahang.

KUALA LUMPUR – Anggota Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bukan sekadar berperanan untuk menghadiri mesyuarat tahunan tetapi menyokong dan terlibat dengan aktiviti perniagaan yang diusahakan koperasi.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, setiap anggota sepatutnya secara aktif melibatkan diri degan apa juga program yang boleh mendokong koperasi berkenaan.

“Sebagai contoh, apabila anggota berhutang, baru mereka cari koperasi mereka untuk membuat pinjaman tetapi tidak pula berbelanja di kedai milik koperasi dengan alasan harga (barang) mahal,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Felda Sungai Koyan III Raub Berhad ke-46 di Sungai Koyan, Pahang.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Raub, Mohd Shihabuddin Mohd Yazid; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Ismail Ali dan Pengerusi Koperasi Felda Sungai Koyan III Raub Berhad, Mohd Radzi Mohd Noh.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan semua anggota pulangan yang dijana melalui perniagaan koperasi tersebut akan diberikan semula dalam bentuk dividen.

Sementara itu, Abdul Fattah turut menggalakkan anggota untuk meningkatkan jumlah saham pada setiap tahun.

Jelasnya, ia merupakan tanda sokongan kepada koperasi untuk mempunyai modal bagi mempelbagaikan lagi aktiviti perniagaan tanpa perlu membuat pinjaman dengan bank.- MalaysiaGazette