Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang gadis remaja yang disyaki menipu dan mereka-reka cerita kononnya telah dilarikan dan memeras wang tebusan RM100,000 daripada keluarganya sendiri.

Bagaimanapun remaja berusia 19 tahun berkenaan telah ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula 2 hingga hingga 4 Jun dan tamat reman hari ini.

“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai merakam keterangan penuh membantu siasatan lanjut kes tersebut,” katanya hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, kertas siasatan kes berkenaan akan dilengkapkan oleh pegawai penyiasat dan dijangka dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.

“Sementara itu suspek dijamin, polis sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin dan apabila selesai nanti ia dijangka diangkat kepada TPR pada Selasa atau Rabu ini untuk keputusan lanjut,” ujarnya.

Terdahulu dalam satu kenyataan 3 Jun lalu,, Mohamad Farouk mengesahkan seorang gadis remaja telah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Shah Alam.

Suspek telah melarikan diri semasa bersama ahli keluarganya di Ampang Point sebelum memberi alasan mahu ke tandas sebelum dilaporkan hilang dlam kejadian 1 Jun lalu.

Bagaimanapun remaja berkenaan ditangkap di rumah teman lelakinya pada 10 malam 2 Jun lalu.

Suspek telah dicekup polis ekoran laporan polis yang dibuat pengadu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dipercayai bapa kandungnya pada 3.30 petang selepas kehilangannya.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku dia sebenarnya tidak diculik tetapi sengaja mereka-reka cerita dilarikan dan meminta wang tebusan RM100,000 daripada bapanya menerusi pesanan WhatsApp telefon bimbitnya.

Siasatan lanjut polis mendedahkan punca suspek berbuat demikian kerana  tidak berpuas hati dengan ibu bapanya yang didakwa mengongkongnya di rumah.

Polis juga berjaya merampas seunit telefon bimbit milik suspek disyaki digunakan untuk melakukan perbuatan jenayah pemerasan wang untuk membantu siasatan lanjut.-MalaysiaGazette