Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan perasmian.

KUALA LUMPUR – Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO diberikan kebebasan untuk memutuskan sama ada mahu menjemput atau tidak wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) 2023 minggu depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak timbul soal ketegasan oleh pemimpin sayap dalam membuat keputusan berkenaan.

Tambah beliau, pengerusi utama 19 parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan telah dijemput menghadiri sesi ucapan dasar presiden sempena PAU 2023 yang akan berlangsung Jumaat depan.

“Saya fikir itu bukan soal ketegasan, biarlah kami di peringkat kepimpinan tertinggi menjemput untuk mereka hadir dalam ucapan dasar atau persidangan UMNO.

“Oleh kerana perasmian ketiga-tiga sayap dibuat pada 7 haribulan malam maka persidangan sayap-sayap pada 8 haribulan.

“Jadi keputusan Majlis Kerja Tertinggi hanya akan memanggil dan menjemput pemimpin 19 parti. Yang utama pengerusi parti-parti gabungan yang menaungi 19 parti,” katanya.

Ahmad Zahid yang ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan pada persidangan itu menjawab; “Perdana Menteri (berucap) tidak ada dalam aturcara”.

Beliau ditemui selepas merasmikan bangunan baharu UMNO Bahagian Batu yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada 3 Jun, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh dilaporkan berkata, sayap tersebut tidak menjemput wakil mana-mana parti ke PAU 2023.

Menurutnya, keputusan itu dicapai sebulat suara menerusi undian yang telah dibuat.

“Selesaikan hal adik beradik kita dahulu sebelum menjemput orang luar datang dan masuk ke rumah kita,” katanya di Facebook pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Anwar dijadualkan hadir pada majlis pembukaan PAU 2023.

Buat pertama kali dalam sejarah, pemimpin dari DAP dan kesemua presiden parti komponen Kerajaan Perpaduan akan menghadiri perhimpunan yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast