Tangkap layar dari video melihatkan seorang wanita merentap rantai kanak-kanak. di Shah Alam semalam.

KUALA LUMPUR – Wanita berusia 35 tahun diberkas selepas mencuri rantai leher kanak-kanak berusia empat tahun di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Shah Alam dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek dipercayai mencuri rantai tersebut dengan cara memotongnya menggunakan suatu objek.

“Pengadu merupakan seorang Melayu yang hadir ke tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Shah Alam telah merakam kejadian. Laporan polis telah dibuat 8.09 malam semalam sejurus selepas kejadian curi rantai leher,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, tular video di laman sosial menunjukkan wanita memakai pelitup muka merentap rantai seorang kanak-kanak di Karnival Jom Heboh.

Jelas beliau, pencuri menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa curi barang kemas di karnival yang dipenuhi orang ramai.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau melibatkan kes curi.

Iqbal berkata, wanita tersebut direman tiga hari sejurus ditangkap hingga Selasa ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohd Norazizi Samsuri di talian 014-9472881.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast