DAMANSARA – Kesediaan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama merupakan satu langkah baik.
Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, perkara itu amat baik untuk PN yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“Itu (kerjasama Tun Mahathir dengan Muhyiddin) adalah satu langkah yang baik apabila Tun menyatakan secara terbuka menyokong PN.
“Saya juga ingin nyatakan, kalau Tun sudi sama-sama ceramah dalam pentas PN ketika PRN nanti kita sangat alu-alukan bersama calon-calon PN,” katanya ketika ditemui ketika ditemui di ibu pejabat PN, hari ini.
Razali berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai pandangan beliau tentang kesediaan Mahathir untuk bekerjasama kembali dengan Muhyiddin.
Jumaat lalu, Mahathir mengakui beliau kini bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin.
Kenyataan terbaharu beliau itu sekali gus membayangkan kedua-dua bekas Perdana Menteri berkenaan berkemungkinan kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.
Bagaimanapun, kata Razali, kesediaan Mahathir itu belum dibawa ke meja perbincangan kepimpinan Bersatu.
Namun, Bersatu sudahpun bekerjasama dengan Mahathir menerusi Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan bekas Perdana Menteri ketujuh itu.
“(Kerjasama Mahathir dengan Muhyiddin) belum lagi (dibincangkan di peringkat parti) sebab baharu lagi cerita ni.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mesyuarat sebulan sekali dan paling lama dua bulan sekali tapi yang terkini saya tak dapat apa-apa maklumat.
“Cuma sekarang dalam media sosial Tan Sri Muhyiddin dia sedia kerjasama dengan Tun, sambut baik Tun untuk kerjasama.
“Sekarang ini kita dah adakan kerjasama dengan Tun pun dalam Plokramasi Orang Melayu dan saya diarah untuk mengikuti perkembangan penyatuan Melayu dengan Tun. Ia merupakan kerjasama yang sebelum ni tak berlaku, sekarang ni sudah berlaku dan saya sendiri dah tandatangan proklamasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette