Anggota bomba menggunakan pelbagai jenis kren bagi menyambung misi mencari dan menyelamat baki mangsa yang tertimbus di lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Laporan hasil penemuan tragedi tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali pada 16 Disember 2022 akan diperoleh pada akhir Jun 2023 dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri i sebelum dimuktamadkan untuk semua pihak yang terlibat
mengambil tindakan selanjutnya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, draf laporan yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan kini di peringkat akhir.

Menurutnya, antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan ini adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.

“Data dari ujian ini adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alexander berkata, beliau memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan.

“justeru saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” ujarnya.

Tragedi yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu membabitkan 92 orang dengan 31 nyawa terkorban.

Kejadian tanah runtuh kedua terbesar dalam sejarah negara ini meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Tragedi itu memusnahkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast