GEORGE TOWN – Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini melancarkan operasi besar-besaran memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long.
Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, seramai 112 pegawai dan anggota yang terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terlibat dalam operasi tersebut.
Jelas beliau, pasukan berkenaan dibahagikan kepada 28 team dan mereka akan menjalankan operasi memerangi ah long membabitkan lima daerah di negeri ini.
“Kita telah lancarkan operasi besar-besaran memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang haram hari ini dan operasi itu akan dilakukan secara berterusan.
“Polis Kontinjen Pulau Pinang akan cuba, kalau boleh hapuskan terus kumpulan ah long ini terutama mereka yang menggunakan kekerasan itu memang saya tidak akan berkompromi.
“Mereka yang terlibat dalam kegiatan haram ini akan ditangkap dan didakwa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes memberi surat amaran serta melakukan ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.
Acryl berkata, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawai polis dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini. – MalaysiaGazette