Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO menjelang perhimpunan agungnya (PAU) minggu depan ibarat menang sorak parti tergadai.

Bekas pemimpin UMNO yang dipecat Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kepimpinan parti itu telah menjadi jurucakap tahniah kepada ‘pencerca’ yang menerima anugerah.

Beliau yang tidak menamakan mana-mana individu dipercayai merujuk kepada bekas pemimpin tertinggi DAP Tan Sri Lim Kit Siang yang menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) hari ini.

“Pencapaian terbesar kepimpinan menjelang PAU ialah menjadi juruucap tahniah kepada pencerca-pencerca mereka yang menerima anugerah, dengan ahli mereka sendiri berputih mata.

“Itu namanya menang sorak, parti tergadai,” kata Annuar dalam satu kenyataan di media sosial.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu turut menyampaikan serangkap pantun untuk mengambarkan situasi yang dihadapi oleh UMNO menjelang perhimpunan agung bermula Rabu ini.

“Kalau tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, sudahlah hancing terkena kencing, najisnya pulak nak kena telan,” katanya.

Kit Siang merupakan pengkritik tegar kepimpinan UMNO selama berpuluh tahun sebelum kedua-dua parti bergabung mewujudkan Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya umum ke-15.

Beliau antara 839 individu yang menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.