KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah menggabungkan formula terbaik dalam pengagihan kerusi bagi memastikan kemenangan lebih berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar, formula berkenaan berteraskan kepada rundingan akhir yang kini hanya melibatkan empat kerusi atau sekitar 10 peratus yang masih belum dimuktamadkan.
“Kami sudah sampai ke penghujung, rundingan hanya untuk tiga atau empat kerusi sahaja yang belum selesai. Kita telah berjaya menetapkan apa yang telah diputuskan oleh gabungan di peringkat Pusat berdasarkan kepada parameter yang perlu diakui semua parti-parti dalam gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, rundingan membabitkan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah pun disepakati atas semangat perpaduan.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata antara PH dan BN, status quo kini tidal lagi menjadi penanda aras utama dalam agihan kerusi.
Sebaliknya mengadunkan pelbagai faktor yang boleh memberi kemenangan kepada calon PH mahupun BN.
“Selain berdasarkan parameter peringkat Pusat, kita masih ada ruang untuk perbincangan. Ada kawasan kita gunakan status quo, iaitu kerusi sedia ada yang kita menang atau BN menang, maknanya kita tidak usik.
“Tak kan pula PH nak kerusi Bandar Baharu atau Sungai Tiang (yang memang sudah dimenangi BN), dalam hal ini kita akui kepada mereka. Lain-lain kerusi itu masih ada keterbukaan untuk melihat kepada faktor-faktor kebolehmenangan,” katanya lagi.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut berkata, setiap rundingan dilakukan atas semangat perpaduan melalui perbincangan selepas masing-masing menyatakan tuntutan terhadap kerusi terlibat.
“Kesemua pihak dalam gabungan PH-BN hendaklah menjadi galah penyambung untuk capai buah di hujung pokok. Masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain, PH perlu kepada BN menjadi galah penyambung, BN juga perlukan PH untuk jadi galah penyambung.
“Kalau ada yang reput, kita harus baiki dan tengok macam mana galah itu seharusnya dilakukan untuk jadi penyambung. Kalau pisau di hujung galah penyambung pula tidak tajam, kita perlu cari pisau yang lebih tajam,” jelasnya.
Mahfuz bagaimanapun berkata, rundingan untuk beberapa kerusi yang akan ditandingi oleh gabungan itu masih belum dimuktamadkan samada menggunakan formula 60-40 peratus ataupun agihan sama rata.
“PH pun ada demand. BN pun sama demand. Jadi kita selesaikan mengikut cara kita. Sebab itu kita sudah capai tahap yang baik dan hanya tiga empat sahaja belum muktamad. Rundingan terhadap semua demand itu dibincang secara harmoni,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette