Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Bagai menghitung hari, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hanya mempunyai kira-kira 239 hari, sebelum menamatkan tugas dan berangkat pulang ke Pahang.

Seri Paduka menzahirkan kesyukuran kerana telah dianugerahkan taufik dan hidayah, kudrat, serta keafiatan daripada Allah SWT, untuk melaksanakan amanah besar memayungi Malaysia selama hampir lima tahun lamanya.

“Dalam perkiraan Beta, hanya 239 hari lagi sebelum Beta berdua balik ke kampung, ke negeri Pahang,” titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Ia merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran terakhir yang disempurnakan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI setelah bersemayam sejak 2019.

Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang, turut menzahirkan penghargaan dan kesyukuran kepada Majlis Raja-Raja atas kepercayaan serta amanah besar kepada Seri Paduka dalam memayungi negara hampir lima tahun sejak 2019.

Seri Paduka bertitah, nasihat dan pandangan yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu telah berupaya untuk membantu dalam merungkai pelbagai kemelut yang melanda negara.

“Semangat musyawarah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu terus dijunjung dan diperkasakan, sebagai mekanisme semak dan imbang terakhir ke atas tadbir urus negara yang telus, demi kelangsungan hidup rakyat jelata,” titah Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah sistem penggiliran yang di-Pertuan Agong di antara sembilan Raja-Raja Melayu yang diamalkan semenjak kemerdekaan negara, menjadi bukti kekuasaan dan jawatan bukan bersifat mutlak.

Titah Seri Paduka, institusi Yang di-Pertuan Agong juga merupakan satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara merupakan tiang seri kepada perpaduan melangkaui kaum, bangsa dan agama.

“Ia merupakan pemusatan dan tumpuan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh Kerajaan Persekutuan; Angkatan Tentera Malaysia dan rakyat jelata sekaliannya,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah institusi Yang di-Pertuan Agong juga merupakan pelindung kepada sekalian rakyat jelata.

“Natijahnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan obor yang sentiasa menyinari negara agar tidak tergelincir dari acuan Perlembagaan Persekutuan, idealisme cita-cita dan harapan negara,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini, turut melambangkan citra untuk mendaulatkan institusi berkenaan yang masih lagi kekal sebati di setiap sanubari rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat jelata atas persembahan ucapan tahniah dan doa bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, yang disfatkan amat bermakna dan amat besar ertinya buat Seri Paduka berdua. – BERNAMA