Salah sebuah hospital di Odisha yang penuh sesak dengan keluarga mangsa. foto Twitter

NEW DELHI – Hampir 100 mayat nahas tiga kereta api di negeri Odisha masih tidak dituntut meskipun sudah lima hari selepas tragedi yang mengorbankan 275 orang.

Nahas pada petang Jumaat lalu membabitkan dua kereta api penumpang dan kereta api barangan.

Lebih 1,000 yang cedera menerima rawatan di hospital.

Namun, masih ramai mendakwa mencari ahli keluarga mereka yang hilang.

Nahas itu menyaksikan kereta api penumpang tergelincir selepas tersalah masuk ke dalam landasan di tepi laluan utama dan bertembung dengan kereta api barang yang diletakkan di situ.

Kejadian itu menyebabkan gerabak kereta api barang tergelincir kemudian melanggar koc belakang kereta api penumpang kedua yang menuju ke arah bertentangan.

Lebih 3,000 penumpang dipercayai menaiki dua kereta api itu, dengan laporan media mengatakan kedua-duanya penuh sesak.

Ahli keluarga penumpang dari Odisha dan negeri-negeri lain telah memenuhi hospital untuk mencari maklumat tentang ahli keluarga masing-masing.

Kebanyakan ahli keluarga ini menghadapi cabaran untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Kerja-kerja menyelamat telah selesai pada hari Sabtu lalu dan landasan telah dibersihkan sepenuhnya.

Trafik kereta api telah pun dipulihkan di salah satu laluan dan pegawai stesen berkata, baki laluan juga akan dibuka semula pada hari Rabu. – Agensi