Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 peratus projek perumahan di Kelantan bermasalah dan dikategori sebagai lewat dan sakit.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrulah Mohd Nasir apabila memberitahu, pihaknya mengesan sebanyak 40 projek perumahan di negeri itu berada dalam kategori sakit manakala tiga lagi didapati lewat.

Katanya, masih ada tujuh lagi projek perumahan belum dimulakan namun 36 lagi berjalan dengan lancar.

“Bermaksud dari segi perbandingan negeri, dari segi peratusannya negeri paling menghadapi masalah lewat dan sakit ini adalah Kelantan.

“Dari segi peratusannya, 50 peratus dari segi projek perumahan di Kelantan bermasalah. Maksudnya 43 daripada 86 itu kita hadapi masalah lewat dan sakit,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, ketika ini unit pasukan khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai yang diwujudkan telah mengadakan rundingan di peringkat negeri-negeri.

Katanya, pihak kementerian turut melibatkan kerajaan negeri dalam usaha memastikan ada tindakan dilakukan terhadap projek-projek yang bermasalah itu.

Terdahulu pada sidang media berkenaan, beliau memaklumkan, pasukan khas berkenaan mengesan dan memantau sebanyak 141 projek lewat, 481 projek sakit serta 112 projek terbengkalai di seluruh negara.

Secara keseluruhan, sebanyak 118 projek perumahan swasta telah berjaya dipulihkan sehingga menerima sijil perakuan siapdan pematuhan (CCC) atau berstatus lancar, katanya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 projek (2,749) unit berjaya dipulihkan untuk tempoh 31 Mac 2023 hingga 30 April 2023 yag mana nilai pembangunan kasar adalah sebanyak RM2.722 bilion, katanya. – MalaysiaGazette