Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang penjawat awam dipercayai menyamar sebagai anggota polis di sebuah kawasan perumahan di Kukup, Pontian, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan pada pukul 6 petang ke atas warga tempatan berumur 43 dan 48 tahun itu susulan satu laporan berhubung video tular menerusi media sosial pada 1.52 tengah hari, hari yang sama.

“Hasil siasatan mendapati terdapat tiga suspek, dua telah ditahan manakala seorang lagi masih bebas.

“Seorang daripada mereka yang ditahan berumur 48 tahun turut mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarul Zaman berkata pihaknya turut merampas satu baju pantulan cahaya, satu lampu mata arah (beacon light) mudah alih, satu lampu suluh, satu headlight serta sebuah kereta Honda City berserta anak kunci.

Beliau berkata, seorang daripada suspek direman selama dua hari mulai hari ini, manakala seorang lagi iaitu penjawat awam berumur 43 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Kamarul Zaman berkata, polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mengikut undang-undang dalam usaha membanteras jenayah dan penyeludupan serta individu yang menyamar sebagai polis.

Semalam, tular video berdurasi 26 saat melalui Facebook menunjukkan sebuah kereta sedang dikejar sebuah lagi kereta yang dipercayai menggunakan lampu beacon berwarna biru seolah-olah kereta polis di Kilometer 41.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara bersebelahan laluan keluar Plaza Tol Sedenak, dekat Kulai. – Bernama