Gamba hiasan

KUANTAN –  Seorang kanak-kanak yang mengalami keracunan nikotin dalam rokok elektronik dalam insiden di Bera pada 30 Mei lalu kini dlaporkan stabil dan boleh bernafas sendiri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan berkata, kanak-kanak yang dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang itu menerima rawatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, Pahang.

”Kanak-kanak perempuan itu tidak mempunyai sejarah penyakit kronik. Pada hari kejadian, kanak-kanak ini, ditemui oleh datuknya mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas.

”Semasa kanak-kanak ini ditemui, terdapat peranti rokok elektronik (vape) pakai buang terletak di atas lantai berhampiran kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang.

Beliau dirujuk ke Hoshas kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak.

Kanak-kanak berkenaan dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali ketika dalam rawatan dan kini masih dipantau oleh pihak hospital.

Menurutnya, kejadian ini pada mulanya dilaporkan sebagai probable kes EVALI (Electronic Vape Associated Lung Injury) namun hasil penemuan klinikal didapati tidak memenuhi kriteria EVALI sebagaimana dalam Clinical Practice Guidelines on Management of E-Cigarette Or Vaping Product Use- Associated Lung Injury (EVALI), 2021.

”Keputusan ujian air kencing menunjukkan kehadiran nikotin pada paras yang tinggi. Peranti rokok elektronik yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

“Pesakit ini disahkan menghidapi Acute Life Threatening Event Secondary To Possible Alleged Nicotine Ingestion Complicated With Seizure,” katanya.

KKM menasihatkan orang ramai bahawa sebarang penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik adalah berbahaya kepada kesihatan.

Keracunan nikotin akibat penggunaan tembakau atau cecair rokok elektronik boleh menyebabkan kesan akut seperti debaran jantung atau palpitation, muntah dan sawan.

Ia boleh terjadi kepada semua pengguna termasuk kanak-kanak yang mana kesan nikotin yang tinggi serta pendedahan nikotin untuk jangka masa panjang terutama kepada kanak- kanak akan menyebabkan pertumbuhan otak terjejas. – MalaysiaGazette