Lelaki berlagak samseng menunjukkan isyarat lucah dan memukul kepala pemandu wanita semasa turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang berlagak samseng dengan memukul kepala seorang pemandu wanita ketika dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah, Perak sudah diberkas polis semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan tangkapan lelaki itu selepas perbuatannya tular di media sosial.

Terdahulu, video berdurasi 59 saat  memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita tersebut.

Lelaki yang berbaju merah itu turut memukul kepala mangsa.

Rakaman itu tular menerusi laman Facebook milik akaun Saleha Fayyad pada Selasa jam lebih kurang 3.30 petang sebelum turut dikesan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, pemandu wanita berusia 24 tahun berkenaan yang bersama adik lelakinya dilemparkan kata-kata kesat oleh lelaki itu sebelum kepalanya dipukul.

Difahamkan lelaki itu sudah ditahan sebentar tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada Isnin jam 5.33 petang semasa pengadu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun.

“Semasa hendak memotong kereta Proton Persona warna kelabu yang berada di hadapan, pengadu namun tidak dapat memotong.

“Kemudian pemandu lelaki kereta Persona di hadapan menunjukkan tanda isyarat lucah sehingga jalan mula menjdi sesak berhampiran pusat peranginan Lata Iskandar,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Yusri lagi, pemandu lelaki itu telah turun dari kenderaannya dan menuju ke arah kereta pengadu sebelum mengetuk cermin kereta mangsa.

Selepas pengadu membuka cermin keretanya, suspek telah memarahi serta tiba-tiba memukul kepala pengadu selain mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Suspek berjaya dikesan dan dijejaki di sekitar daerah Serdang, Selangor. Suspek yang merupakan seorang penyelia di sebuah kilang di Serdang telah ditahan dan akan dibawa ke IPD Tapah Perak untuk siasatan selanjutnya.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 323, 506 dan 509 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. La… penyelia kilang rupanya, beria-ria dia ULANG CAKAP… kau tau siapa aku? ok ok faham aq sangka dia tukang buat jalanraya..

Comments are closed.