Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melakukan kerja-kerja merobohkan bengkel membaiki kenderaan yang dibina atas tanah kerajaan secara haram ketika di sebuah pangsapuri di SS13, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2023.

SUBANG – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan bengkel membaiki kenderaan yang dibina atas tanah kerajaan secara haram berhampiran sebuah pangsapuri di SS13 hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, operasi penguatkuasaan dilakukan selepas menerima aduan daripada orang awam terhadap aktiviti pengusaha haram itu di tanah rizab kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

“Kita dimaklumkan di sini ada aktiviti ada bengkel haram dan difahamkan juga mereka ini memberi ugutan kepada penduduk supaya tidak melaporkan tindakan mereka ini.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melakukan kerja-kerja merobohkan bengkel membaiki kenderaan yang dibina atas tanah kerajaan secara haram ketika di sebuah pangsapuri di SS13, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2023.

“Mereka (penduduk) merasakan keselamatan tidak terjamin maka hari ini kita buktikan bahawa MBSJ membantu dalam tindakan penguatkuasaan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin

“Kawasan ini merupakan tanah rizab kerajaan yang telah didapati digunakan oleh pengusaha bengkel sejak sekian lama untuk aktiviti perniagaan. Kita clear kan semua, supaya mesej itu sampai kepada semua pihak bahawa jangan ceroboh tanah kerajaan dan jangan melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan,” katanya di lokasi tapak perobohan.

Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Muhammad Azli Miswan. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2023.

Turut sama dalam operasi penguatkuasaan hari ini, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Kawalan Bangunan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhammad Azli tidak menolak kemungkinan bengkel yang didirikan itu sudah lebih dari lima tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, stor dan tempat letak kenderaan juga antara yang dirobohkan selain menyita sebuah tong roro dan kepala lori yang terbiar.

Jelas beliau, operasi yang diadakan hari ini juga susulan notis serta-merta yang dikeluarkan pada 29 Mei lalu.

“Pada tarikh itu, kita mengeluarkan empat notis di bawah Akta Parit dan Bangunan 1974 atau Akta 133 yang boleh diberikan serta-merta kepada pengusahaan perniagaan disini yang didapati tidak mempunyai lesen perniagaan serta tidak mendapat sebarang kebenaran dari pihak berkuasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu Muhammad Azli menegaskan, MBSJ tidak akan berkompromi dengan notis yang dikeluarkan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan seperti biasa.

Beliau menambah, operasi sedemikian juga akan dilakukan di beberapa tempat lain yang sudah dikenalpasti didapati berlaku pembinaan struktur haram seperti SS15, dan USJ1. -MalaysiaGazette