Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR – Satu pasukan petugas dianggotai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan isu mengutip semula duti kastam terkurang kutip bagi kenderaan import di pulau bebas cukai (PBC).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menipu JKDM dan melaporkannya kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya diambil segera.

Katanya, penubuhan pasukan petugas itu susulan penemuan berlakunya penipuan oleh pihak pemilik kenderaan yang telah mengemukakan surat akaun sumpah palsu dan kandungan tidak benar.

“Saya ingin maklumkan bahawa hasil pemeriksaaan lanjut berdasarkan persampelan audit, disahkan bahawa berlakunya penipuan oleh pemilik kenderaan,” katanya ketika menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 yang dibahaskan seramai 13 ahli parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pihak JKDM turut menyiasat unsur penyelewengan, status permastautin dan mengkaji isu pelanggaran syarat permastautin seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Menurut LKAN 2021 Siri 2 yang dikeluarkan pada Februari lepas, terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di PBC sekali gus menyebabkan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkurang kutip pada 2021.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata JKDM sedang memperkemaskan prosedur dan peraturan mengenai syarat permastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi berikutan teguran laporan berkenaan terhadap jumlah terkurang kutip duti kastam itu.

“Semakan mendapati bahawa daripada jumlah RM72.32 juta terkurang kutip itu, sebanyak RM146 824.49 disebabkan oleh pengiraan duti eksais tidak tepat dan telah dipungut semula sebelum audit dijalankan,” katanya.

Beliau berkata JKDM mengambil tindakan segera dengan memperkemaskan perkara berkaitan, mengeluarkan syarat bermastautin bagi pemilikan kenderaan yang hendak dibawa keluar dan menstrukturkan semula kadar susut nilai bagi kenderaan.

“Jadi pendaftaraan kenderaan yang dibawa masuk ke PBC memerlukan pengikraran borang kastam, salinan kad pengenalan, surat akaun sumpah, surat akaun majikan dan bil utiliti kediaman,” tambahnya. – BERNAMA

 

1 Komen

  1. Benda punya besar boleh terkurang kutip cukai? macam boleh masuk dalam pocket je.. mungkin kerana DANCING TIMBANG dah ROSAK tu .. tak dapat baca…
    Sayonara goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI

Comments are closed.