KUALA LUMPUR – Kebimbangan mengenai kemelut kemungkiran kredit di Amerika Syarikat telah berkurangan berikutan perjanjian antara Dewan Perwakilan dan Senat AS untuk menaikkan had hutang selama dua tahun.

Justeru, penanda aras utama terus meningkat, terutamanya pada Khamis dan Jumaat selepas AS melaporkan angka pekerjaan yang kukuh.

Pelabur institusi tempatan menjadikan pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lepas dengan merekodkan sebanyak RM372.9 juta.

Menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya, setakat tahun ini, pelabur institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 16 daripada 22 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih RM2.79 bilion.

Begitu juga, peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut selepas merekodkan belian bersih RM133.6 juta minggu lepas.

“Setiap hari dagangan adalah hari belian bersih kecuali pada hari Jumaat, dengan jualan bersih RM9.6 juta.

“Setakat tahun ini juga, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 11 daripada 22 minggu dengan jumlah pembelian bersih sebanyak RM173.5 juta,” kata MIDF Research.

Sementara itu, pelabur asing menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berturut-turut minggu lepas, mencatatkan aliran keluar bersih asing berjumlah RM506.5 juta berbanding RM58.7 juta pada minggu sebelumnya.

Ia menambah pelabur asing telah menjadi penjual bersih 16 daripada 22 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar bersih asing sebanyak RM2.96 bilion.

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing adalah penjual bersih setiap hari pada minggu dagangan lepas, dengan hari Rabu menyaksikan jualan bersih paling tinggi untuk minggu berkenaan pada RM199.3 juta.

“Tiga kaunter teratas yang mencatatkan jualan bersih oleh pelabur asing pada hari tersebut ialah RHB Bank (RM45.8 juta), Hap Seng Consolidated (RM31.9 juta) dan Public Bank (RM30.7 juta),” katanya.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah teknologi (RM47.3 juta), telekomunikasi dan media (RM27.4 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM24.7 juta).

Manakala tiga sektor teratas bagi aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM181.6 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM161.5 juta) dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM137.4 juta), kata MIDF Research. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast