Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Ketua Pengarah Jabatan wilayah persekutuan, Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar bergambar kenangan selepas membuat lawatan ke Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah Flat Sri Melaka di Taman Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 5,650 pemilik empat blok pangsapuri kos rendah di Bandar Tun Razak, di sini, yang sudah menjangkau usia bakal memiliki kediaman baharu yang lebih kondusif dan selesa.

Projek pembangunan semula pangsapuri kos rendah Sri Pulau Pinang, Sri Melaka, Sri Johor dan Taman Ikan Emas untuk golongan B40 dilaksanakan dalam dua fasa itu dijangka siap sepenuhnya pada 2030.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelaksanaan projek itu penting dalam menjamin kediaman yang selesa dan selamat mengikut peredaran masa memandangkan ia berusia lebih 50 tahun.

“Projek ini akan dibina dalam dua fasa yang dijangkakan siap menjelang 2040 sementara fasa pertama pembinaan membabitkan 1,192 unit (658 unit Taman Ikan Emas dan 534 unit Sri Melaka) akan disiapkan pada Julai 2026 disusuli fasa kedua membabitkan 4,458 unit rumah siap pada Julai 2030.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melihat pelan pembinaan semasa membuat lawatan ke Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah Flat Sri Melaka di Taman Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

“Projek penswastaan pembangunan semula ini mempunyai dua fasa pelaksanan yang melibatkan kos sejumlah RM1.19 bilion di atas kawasan berkeluasan 138.25 ekar (55.948 hektar).

“Fasa pertama sedang dalam proses pembinaan termasuk kerja-kerja pengambilalihan tanah yang sudah bermula sejak 2022 selepas penyelesaian isu tanah yang mengambil masa beberapa tahun,” katanya selepas meninjau projek pembanguan semula itu, hari ini.

Menurut Wan Azizah, kerja-kerja pembangunan fasa kedua akan dilakukan selepas pembangunan fasa pertama siap.

Tambah beliau, pangsapuri berkeluasan 850 kaki persegi itu sangat kecil serta kekurangan fasiliti asas seperti lif, surau, dewan awam dan perubahan perlu dilakukan untuk kesejahteraan hidup penduduk terbabit.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Ketua Pengarah Jabatan wilayah persekutuan, Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar melihat tapak pembinaan semasa membuat lawatan ke Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah Flat Sri Melaka di Taman Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

“Perumahan baharu apabila siap sepenuhnya nanti bakal dilengkapi dengan kemudahan antaranya surau, tadika, dewan masyarakat, unit kedai serta pejabat pengurusan untuk kegunaan dan keselesaan penduduk,” ujarnya. – MalaysiaGazette