Mohammad Rizan Hassan

KUALA LUMPUR – Program TVET.belia (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) mampu membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan dan tercicir untuk menyambung pelajaran terutama dalam bidang kemahiran.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan, program seumpana ini merupakan talian hayat kepada pelajar bagi meneruskan pelajaran mereka di peringkat tinggi.

“Menyedari sindrom kelesuan motivasi di kalangan generasi muda dan kepentingan membina kesejahteraan ekonomi dan sosial bersama yang baik, PKPB telah melancarkan Program TVET.belia dengan kerjasama institusi latihan kemahiran awam atau swasta dalam pelbagai bidang.

“Ia merupakan platform kepada belia lepasan sekolah mendapatkan maklumat dan membuat permohonan menyertai latihan kemahiran di bawah Persijilan Kemahiran Malaysia.

“Persijilan Kemahiran Malaysia adalah sistem latihan diiktiraf dan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kepada institusi latihan kemahiran merangkumi aspek kemudahan latihan kondusif, tenaga pengajar berkelayakan dan silibus yang menepati Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard – NOSS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata, program berkenaan melibatkan 20 institusi latihan kemahiran di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus diminati anak muda seperti Teknologi Motosikal, Teknologi Automotif, Teknologi Kimpalan, Pereka Fesyen, Kulinari dan sebagainya.

Menurutnya, penglibatan institusi latihan kemahiran dijangka bertambah dan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Walaupun keutamaan lepasan SPM adalah memilih lanjutan pelajaran dan latihan menerusi UPU Online namun kapasiti di institusi latihan kemahiran awam terhad dan juga keterbatasan akses kepada mereka tidak cemerlang atau gagal SPM,” jelasnya.

Justeru, Mohammad Rizan menjelaskan, peluang terbuka kepada belia yang tidak menamatkan persekolahan menengah dengan harapan keluar dari keciciran.

“Oleh itu menerusi Program TVET.belia, ia merupakan peluang kedua yang memberikan akses mudah disamping kualiti dan standard latihan sama serta persijilan diiktiraf serta ditauliahkan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette