KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah di ibu negara lumpuh dengan tertangkapnya tiga individu, termasuk seorang wanita, dalam operasi yang dilakukan di Kuala Lumpur dan Johor pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam serbuan pertama di tempat letak kereta di Jalan Cemur, di sini, dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun ditangkap polis.
“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek itu dibawa ke sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna hitam sebelum pemeriksaan di dalam kenderaan itu berjaya membawa kepada rampasan dadah jenis ganja seberat 52 kilogram yang dianggarkan bernilai RM160,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut pasukan narkotik membawa kepada rampasan sebuah lagi kereta Honda HRV beserta wang tunai RM485 milik suspek.
Katanya, tangkapan pertama itu membawa kepada serbuan yang dilakukan JSJN KL dan IPK Johor di Bandar Nusajaya, Johor pada hari yang sama. yang menyaksikan seorang wanita berusia 45 tahun yang disyaki ahli sindiket pengedaran dadah tersebut ditahan.
“Kesemua suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum salah seorang suspek lelaki positif dadah jenis Methaphetamine manakala seorang lagi lelaki dan wanita itu bebas dari sebarang dadah.
“Semakan juga mendapati suspek lelaki pertama memiliki satu rekod jenayah narkotik lampau manakala suspek kedua memiliki 14 rekod dadah dan empat rekod jenayah lampau sementara wanita itu tiada rekod kesalahan lampau,” ujarnya.
Menurut Mohd Shuhaily, siasatan awal mendapati sindiket pengedaran dadah itu dikesan aktif sejak sebulan yang lalu dan berasal dari selatan tanah air dan menjadikan ibu negara sebagai kawasan pengedaran dadah.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat penghantaran dadah kepada pelanggannya menggunakan kenderaan setelah menerima pesanan pelanggannya.
“Malah, kedua-dua suspek lelaki yang ditahan di Kuala Lumpur berperanan sebagai penghantar terlarang itu manakala suspek wanita yang ditahan di Johor adalah seorang yang berniaga sendiri selain menjadi perancang utama sindiket pengedaran dadah tersebut.
“Dua suspek lelaki tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjalankan aktiviti dadah untuk pencarian utama manakala salah seorang daripada suspek berkenaan adalah duda anak tiga sementara itu suspek utama wanita itu bersuami serta beranak dua,” kata beliau.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Jun ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.
“Dadah yang dirampas daripada sindiket berkenaan boleh digunakan oleh 150,000 penagih dadah manakala siasatan masih diteruskan untuk mengesan punca bekalan diperolehi serta saki-baki ahli sindiket yang disyaki masih bebas,” kata beliau.-MalaysiaGazette