Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada media selepas hadir pada mesyuarat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ketika di Publika, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 JUN 2023.

DAMANSARA – Pas berpandangan pihaknya tidak ada masalah untuk mengadakan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tub Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai matlamat sama.

“Kita bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat yang sama dengan kita.

“Termasuk Tun Dr Mahathir di mana beliau adalah seorang negarawan, tidak ada masalah,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), malam tadi.

Takiyuddin berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Mahathir yang sedia untuk bekerjasama semula dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jumaat lalu, Mahathir mengakui beliau kini bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin.

Kenyataan terbaharu beliau itu sekali gus membayangkan kedua-dua bekas Perdana Menteri berkenaan berkemungkinan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai kenyataan berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah.

Takiyuddin berkata parti itu menerima kenyataan Sanusi dan berpendapat perkara itu tidak melanggar mana-mana perundangan di negara ini.

“Kenapa nak ambil tindakan disiplin. Bukan menjadi satu kesalahan, malah yang memutarbelitkan kenyataan Sanusi kita anggap sebagai satu yang tidak sewajarnya.

“Pas menyokong apa yang disebut oleh MB Kedah untuk dibuat kajian dan penyelesaian untuk menoktahkan perkara ini,” katanya lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh sebelum ini berkata bahawa Pulau Pinang adalah kepunyaan Kedah disifatkan tidak berasas.

Ramkarpal beralasan berdasarkan The Federation of Malaya Agreement 1957, ia amat jelas menyatakan Pulau Pinang sudah dijadikan sebahagian daripada Persekutuan Malaya sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah.

Takiyuddin juga berkata PN akan mempertahankan kenyataan Sanusi di Dewan Rakyat esok.

Jelasnya, kenyataan Sanusi bukan perkara yang baharu.

“Esok kita akan bangkitkan dalam Parlimen.

“Benda ini bukan benda baharu. Tengok rekod pada tahun 2017 dulu seorang Exco Negeri Kedah pernah mengeluarkan kenyataan di bawah kerajaan BN.

“Beliau berkata mengikut rekod sejarah dan dokumen perundangan Pulau Pinang itu adalah milik Kedah. Ada asasnya kena semak,” katanya lagi.

Menurut kertas Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) esok, isu kenyataan Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah akan diutarakan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Dalan soalan pertama PMQT, Guan Eng bertanyakan apakah tindakan kerajaan ke atas Sanusi bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah.

Guan Eng dalam soalan itu berkata kenyataan tersebut telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan di kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak serik2 ke? Apa bule bt..yg penting dpt laba.. jgn dpt lebam lg sekali udah le..

Comments are closed.