prabayar internet
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bersetuju untuk menjadi penaung kelab Kuala Lumpur City (KL City) FC, selepas menerima tawaran itu daripada Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Abdul Samad, hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau tiada masalah untuk menjadi penaung kelab bola sepak The City Boys itu.

“Ya sahih…sebagai seorang Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, saya tiada halangan untuk jadi penaung kelab bola sepak ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata, Fahmi yang ditemui di Parlimen hari ini bagaimanapun meletakkan syarat sebelum membuat keputusan untuk menerima pelawaan tersebut.

“Saya telah mendapat pengesahan daripada Fahmi untuk menjadi penaung pasukan KL City, dengan syarat KL City tidak boleh mendapatkan penajaan daripada mana-mana syarikat telekomunikasi, yang kini berada di bawah kementeriannya.

“Ini kerana beliau tidak mahu terhutang dengan syarikat berkenaan kerana menyumbang atau membantu KL City…jadi apa kita perlukan ialah seseorang dihormati dan disegani sebagai penaung dan kita akan usaha untuk mendapatkan penajaan lain,” katanya pada sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai penaung KL City pada Ogos tahun lepas, selepas bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa meletak jawatannya itu.

Dalam pada itu, Khalid berkata beliau sudah berjumpa Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh, untuk memohon pertimbangan bagi menambah bajet persatuan daripada RM5 juta kepada RM10 juta setahun.

Beliau berkata setakat ini, bajet perbelanjaan yang digunakan KLFA ialah kira-kira RM16 juta hingga  RM18 juta untuk pembangunan skuad KL City, dan pasukan di bawah naungannya termasuk aspek pengurusan persatuan.

“Saya dah jumpa Datuk Bandar Kuala Lumpur, dia pertimbangkan permohonan saya tempoh hari sebanyak RM10 juta, walaupun nilai itu masih lagi jauh berkurangan dari apa yang kita belanjakan.

“Kita juga bersetuju untuk menjadi ambassador Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan apa-apa inisiatif DBKL untuk tahun ini, termasuk KL City akan membawa kempen DBKL menjadikan “Kuala Lumpur Ke Arah Bandar Rendah Karbon” sebagai jenama,” katanya.

Beliau berkata kerjasama tersebut, turut bakal membuka peluang kepada syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) sebagai penaja, selari dengan kempen yang dibawa DBKL. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast