Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan pelaburan-pelaburan yang dibawa masuk ke negara ini membuka peluang kepada anak muda untuk mendapat gaji yang lebih baik.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, perkara itu merupakan antara yang dibincangkan oleh setiap kementerian dalam usaha mencapai tahap gaji yang progresif.

“Memang isu yang kita hadapi sekarang ini adalah masalah soal gaji dalam kalangan belia..

“…dan ini merupakan perkara yang sedang dibincangkan oleh semua kementerian bahawa kita sedang menuju kepada gaji progresif.

“Kerajan baharu ini akan pastikan pelaburan akan datang ke negara ini dan akan meningkatkan ekonomi negara dan kita akan minta majikan memperhalusi dan megambil kira keadaan terutama pekerja kita, anak-anak generasi muda,” kataya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), apakah dasar terkini kerajaan dalam menangani isu pengangguran di kalangan belia serta langkah menjadikan gaji bermaruah sebagai neraca dalam mengatasi masalah tersebut.

Mohd Yunus berkata, mengambil kira perkembangan ekonomi terkini demi memastikan pekerja terutama anak-anak belia mendapat gaji lebih baik kerajaan akan meminta supaya majikan memperhalusi supaya kadar gaji dapat dinaikkan.

“Jadi, ini penting, saya mahu tekankan sekali lagi bahawa kestabilan politik itu penting.

“Kita perlukan kerajaan yang stabil untuk memastikan bahawa nasib anak muda kita terbela untuk masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette