shahrir samad src majlis peguam
Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, kedudukan Sabah dan Malaysia akan berada dalam bahaya sekiranya Tan Sri Tommy Thomas masih memegang jawatan Peguam Negara dan Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menerajui negara.

“Pencapaian malap negara di Sukan SEA yang ikut pengakuan Menteri Hannah Yeoh adalah disebabkan oleh Langkah Sheraton.

“Tapi kali ini, Langkah Sheraton yang mengakibatkan kejatuhan Kerajaan PH 1.0 sebenarnya yang membawa kejayaan mempertahankan maruah dan martabat negara!

“Bayangkanlah kalau Tun Mahathir dan Tommy Thomas masih berada di tampuk pemerintahan negara! Kesudahannya mungkin membahayakan negara dan rakyat!” kata Shahrir.

Beliau mengulas laporan media mengenai kejayaan Malaysia memperoleh kemenangan penting di Mahkamah Rayuan Paris terhadap pewaris yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Mahkamah Rayuan telah membatalkan anugerah sebanyak AS$14.94 bilion (RM68.83 bilion) oleh Mahkamah Timbang Tara Paris kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (pihak Kumpulan Sulu).

Shahrir berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pasca Langkah Sheraton mampu membetulkan kerosakan peninggalan Kerajaan PH 1.0 dan kealpaan dua pentadbiran selepas itu.

“Setinggi tahniah! Kejayaan negara, ikut kenyataan Menteri Datuk Azalina, adalah hasil usaha dan kerjasama dua lagi menteri dan kementerian – Datuk Zambry Kadir (Kementerian Luar) dan Fahmi Fadzil (Kementerian Kommunikasi).

“Tahniah Kerajaan Perpaduan! Teruskan segala usaha membetulkan kesilapan dan kedurjanaan kerajaan PH 1.0! Masih banyak lagi kedurjanaan peninggalan pentadbiran Tun Mahathir dan kerajaan PH 1.0,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Malaysia percaya keputusan semalam juga akan menghentikan usaha penuntut serta pembiaya mereka iaitu Therium untuk menguatkuasakan award tidak sah itu serta cuba mendapatkan pampasan yang besar daripada Malaysia.

Azalina berkata, antara strategi agresif penuntut, mereka sebelum ini menyasarkan aset-aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk kedutaan negara ini) atas alasan ia adalah sebahagian daripada award yang diperoleh.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia telah menentang kaedah ini atas alasan imuniti diplomatik.

“Mereka kini perlu menarik diri susulan keputusan hari ini yang enggan memberikan sebarang kesan terhadap award yang diputuskan di Perancis itu,” katanya.

Malaysia kini berusaha agar pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin yang akan menggagalkan usaha untuk menguatkuasakan award tersebut di seluruh dunia oleh penuntut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast