Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Lebih ramai lagi peserta berkualiti menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H) susulan perubahan syarat permohonan ke program itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berbeza sebelum syarat ketat itu diperkenalkan yang mana negara hanya menerima RM958 juta dalam tempoh lima tahun sejak 2015 hingga 2019 untuk program yang bertujuan menarik minat rakyat luar negara menghabiskan usia persaraan mereka atau masuk ke Malaysia dengan membawa kepakaran diperlukan.

“Peserta mestilah lulus tapisan keselamatan kerana sebelum ini ada yang lulus tetapi rupanya terbabit dalam aktiviti pengintipan.

“Oleh itu, kita ketatkan syarat, rasionalnya kita harap untuk mendapat peserta yang betul-betul berkualiti dan membolehkan Malaysia bersaing dengan negara lain yang turut menawarkan program sama.

“Jadi, statistik berbicara, walaupun permohonan menurun tetapi disebabkan kita pergi kepada kualiti jadi, nilainya jauh beza,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung rasional perubahan terkini yang dilakukan terhadap program MM2H pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Hasni, syarat ketat MM2H itu telah menyebabkan pasaran hartanah di Johor suram dan lambakan rumah mewah tidak terjual di negeri berkenaan.

Saifuddin berkata, setakat ini sebanyak 375 permohonan program MM2H diluluskan dan 800 permohonan sudah melepasi pra kelulusan dengan semua tapisan yang disyaratkan.

Sebelum ini, Persatuan Perunding MM2H mendakwa jumlah pemohon program itu menurun 90 peratus sejak syarat ketat diperkenalkan.

Program MM2H yang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi persaraan antarabangsa, dibekukan pada 2020 dan disambung semula pada 2021 dengan syarat ketat ketika KDN diterajui Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast