Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menunjukkan buku ‘Hyrogen’ yang dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Sains Negara di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 07 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap-HETR) yang diwujudkan oleh Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) bakal menjana RM12.1 bilion kepada pendapatan negara menjelang tahun 2030.

HETR juga diunjur menyumbang antara RM49 bilion dan RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, HETR bakal meletakkan Malaysia dalam kedudukan global yang menguntungkan kerana pasaran global bagi hidrogen hijau diunjurkan mencapai AS$189.19 bilion pada tahun 2050.

“HETR ini menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

“Dasar ini akan diperincikan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini (26 Jun) – Persidangan Energy Asia 2023],” katanya ketika sidang media yang dibacakan oleh Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang selepas mesyuarat pertama diadakan di Pusat Sains Negara, hari ini.

Katanya, dasar berkenaan akan diperincikan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan dijangka dilancarkan pada 26 Jun ini.

Dalam masa yang sama beliau berkata, sebanyak 0.4 hingga 1.3 peratus pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) dapat dicapai bergantung menerusi HETR menjelang 2030 kelak.

“Pembangunan keupayaan dan pemacuan teknologi tinggi di bawah HETR menyasarkan penghasilan hidrogen dengan kos yang kompetitif, bagi penggunaan domestik untuk sasaran transisi tenaga negara dan tujuan eksport.

“Ekosistem secara menyeluruh perlu diwujudkan bagi merancakkan pembangunan keupayaan industri, serta menerusi penglibatan aktif pihak swasta dan para akademia,” katanya lagi.

Terdahulu beliau berkata, sebanyak lima teras strategik digariskan untuk membangunkan ekosistem hidrogen yang teguh dan berdaya saing  bagi mencapai wawasan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang tahun 2050.- MalaysiaGazette