Isa Samad.-foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti Pas dan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  tidak lagi boleh melemparkan tuduhan terhadap UMNO selepas pemimpin parti itu sendiri berhadapan dengan isu rasuah dan dihadapkan ke mahkamah.

Tan Sri Mohd Isa Abd Samad yang kembali menyertai UMNO baru-baru ini berkata, UMNO hanya perlu menangani isu Melayu-Islam yang akan ditimbulkan oleh parti terbabit.

“Hari ini saya nampak untuk pilihan raya negeri isu tidak sebanyak dahulu, mereka guna isu 1MDB pada PRU14 dan UMNO korup pada PRU15.

“Hari ini mereka tidak dapat menggunakan isu korup, rasuah kerana pemimpin mereka juga telah termasuk dalam kluster mahkamah.

“Sebab itu mereka tukar kepada sentimen Melayu dan Islam. yang ini yang kita kena tangani dengan baik,” kata Isa.

Beliau ditemui selepas menghadiri taklimat tertutup Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamdi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023.

Isa berkata, dalam taklimat berkenaan Ahmad Zahid telah memberi pandangan mengenai isu sentimen Melayu-Islam yang akan digunakan seolah-olah parti itu tak pernah berjuang untuk orang Melayu.

“Seolah-olah macam UMNO tak pernah mempertahankan Islam. Sebahagian mereka yang mencela UMNO hari ini merupakan mereka-mereka bekas UMNO.

“Kebanyakan mereka lahir daripada perut UMNO. Tetapi mereka sudah jadi sekumpulan yang menjadi penentang UMNO, hanya kerana tidak bersetuju.

“Sebab itu saya nampak kita kena kerja keras. Waktu begitu singkat. Pilihan raya tak lama. Saya percaya insya-Allah kita capai kejayaan,” kata Isa.

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Khairul Azwan Harun berkata, Presiden UMNO meminta perwakilan supaya mempersiapkan diri menghadapi ‘perang’ pilihan raya di enam negeri.

“Secara jelas musuh yang kita akan berhadapan tidak lain, tidak bukan daripada gabungan PN iaitu Pas dan Bersatu.

“Jentera kena tahu, bahawa kita berhadapan dengan musuh yang setiasa mainkan sentimen-sentimen berhaluan kanan, agama dan perkauman. Hari ini UMNO dan BN berada dalam kerajaan perpaduan mengambil jalan tengah.

“Membawa pendekatan moderat sederhana dan progresif, kerana ini sahaja yang menjamin kelangsungan dan kestabilan politik negara jangka panjang,” katanya.

Seramai 6,341 perwakilan termasuk sayap akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung dengan majlis perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri malam ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bot yg bocor, takperlu pun org lain nk susah2 pergi tebuk. Karam sendiri juga nanti pun. Haha..

Comments are closed.