Alimuddin Mohd diringi polis ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor hari ini.

JOHOR BAHRU- Seorang peniaga pakaian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan membuat hantaran menghina Allah, Nabi dan agama Islam di laman sosial Facebook, dua bulan lalu.

Tertuduh, Alimuddin Mohd. Hayat, 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan dua hakim iaitu Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan V.M Mabel Sheela.

Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik dan menghina agama Islam, Allah dan Nabi menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Ali Tikos’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu telah dibaca di sebuah rumah di Rumah Pangsa Awam Larkin Johor Bahru, pada kira-kira pukul 10 malam, 26 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar dan Noor Idayu Salim serta S. Thiviya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwa menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi pertuduhan pertama hingga keenam dan seorang penjamin.

Alimuddin dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan dengan mengambil kira dia yang telah bercerai dan mempunyai dua orang anak berusia empat serta lapan tahun.

Selain itu, tertuduh juga berpendapatan rendah iaitu sekitar RM300 hingga RM400 sebulan sebagai peniaga baju di Bazar Karat Johor Bahru.

Ahmad Kamal Arifin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi keenam pertuduhan dan menetapkan 9 Julai sebagai sebutan kes dan lantikan peguam.

Mabel Sheela juga mengguna pakai jumlah jaminan yang sama memandangkan kes dihadapannya akan dipindahkan ke mahkamah Ahmad Kamal Arifin. – MalaysiaGazettte

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast