Mohd Iqbal Ibrahim

 

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang disyaki memecahkan cermin kereta untuk melarikan beg tangan seorang wanita dalam kejadian akhir Mei lalu berjaya ditahan petang tadi.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada jam 4.30 petang tadi dan akan direman esok.

Katanya, suspek didakwa menghampiri kereta mangsa sekitar jam 5.10 petang di kawasan tempat letak kereta di Jalan Lumut Q U10/Q Alam Budiman Seksyen U10 Shah Alam pada 31 Mei lalu.

Dia dikatakan telah mengeluarkan sesuatu kemudian diletakkan pada cermin tersebut dan menyebabkan ia pecah.

Suspek kemudian mengambil beg tangan yang diletakkan di bahagian kerusi penumpang hadapan dan beredar dari kawasan tersebut. Jumlah kerugian termasuk beg mangsa, wang tunai RM50 dan beberapa dokumen penting,” katanya.

Suspek mempunyai enam rekod jenayah dan satu kes dadah.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette