Pihak polis mengusung mayat warga emas yang ditemui mati dengan kesan tikaman di kawasan semak di Jalan Song Ban Kheng, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes bunuh warga emas dalam tempoh kurang 24 jam selepas menahan dua lelaki di dua lokasi berasingan di sini, hari ini.

Suspek lelaki berusia 50-an dan 60-an itu ditahan di Hospital Bukit Mertajam dan pekarangan Klinik Kesihatan Berapit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 79 tahun di kawasan semak di Jalan Song Ban Kheng di sini, pada jam 7.45 petang.

Jelas beliau, pemeriksaan polis mendapati mangsa disyaki ditikam menggunakan senjata tajam.

Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Susulan itu, kita menahan dua lelaki di pusat perubatan ketika menerima rawatan akibat kecederaan dipercayai berkaitan kejadian itu

“Hasil siasatan mendapati mangsa ditikam susulan berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Tan, semakan polis mendapati salah seorang suspek mempunyai 10 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan, terdapat beberapa kesan tikaman di anggota badan termasuk perut mangsa selain tangan kiri patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Turut ditemui di lokasi kejadian sebilah pisau serta gunting yang dipercayai digunakan suspek.

Unit K9 turut serta bagi operasi mengesan suspek.

Menurut isteri mangsa yang ingin dikenali sebagai Toh, suaminya sudah tidak bekerja dan masa lapang diisi dengan memberi makanan kepada anjing serta kucing jalanan sekitar kawasan Kampung Baru, Bukit Mertajam.

“Kali terakhir saya jumpa dia (suami) semalam kira-kira jam 2 petang sebelum saya bergegas ke Kulim, Kesah untuk melawat abang yang sedang sakit.

“Bagaimanapun, saya dikejutkan dengan panggilan penemuan mayat suami pada jam 6 petang.

“Tiada apa-apa perubahan atau masalah ditunjukkan suami sebelum ini dan kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian yang menimpa dirinya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam. – MalaysiaGazette