Zahari Sarip (tengah) melepaskan 200,000 benih udang galah di Kampung Tekam, Segamat, Johor.

SEGAMAT – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM900,000 untuk projek pembenihan ikan air tawar dan udang serta penternakan ikan buang di Johor, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, daripada peruntukan berkenaan RM750,000 akan digunakan untuk projek pembenihan ikan air tawar dan udang.

Manakala baki RM150,000 lagi dikhususkan untuk projek penternakan ikan baung yang akan dilaksanakan di daerah Segamat melalui Jabatan Pertanian negeri dalam masa terdekat.

“Buat masa ini di Johor telah mempunyai dua pusat pembenihan ikan air tawar sedia ada iaitu di Kulai juga Pontian dan dengan peruntukan berkenaan kita akan tambah baik, selain itu kita akan wujudkan satu lagi pusat pembenihan berkenaan di Segamat.

“Dalam masa yang sama, kita juga akan membuka pula sebuah pusat penternakan ikan baung juga di Segamat, yang mana ianya akan mampu meningkatkan jumlah pengeluaran ikan tersebut,” katanya selepas program pelepasan 200,000 benih udang galah di Kampung Tekam, di sini, hari ini.

Menurut Zahari, penambahbaikan dalam projek terbabit mampu mengurangkan pembelian benih ikan air tawar dan udang dari negeri lain, sekali gus berpeluang untuk menjadi pengeluar.

“Setiap tahun kita akan melepaskan antara 500,000 hingga 700,000 ekor ikan air tawar serta udang ke kawasan perairan di Johor dan saya dimaklumkan sekarang ini benih berkenaan tidak mencukupi, di mana terpaksa membelinya daripada negeri lain,” katanya.

“Usaha kerajaan negeri melepaskan benih ikan air tawar dan udang ini adalah untuk membantu para nelayan darat, sekali gus meningkatkan pasarannya,” katanya.-MalaysiaGazette