Pamela MCA
Pamela Yong

 

KUALA LUMPUR – Wanita MCA Sabah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempertahankan kedaulatan Sabah.

“Tahniah dan syabas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),  Datuk Seri Azalina Othman dan Sekretariat Khas Sulu Malaysia atas kemenangan Malaysia terhadap tuntutan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu di Mahkamah Rayuan Paris semalam,” kata ketuanya, Datuk Dr. Pamela Yong.

Menurutnya, keputusan mahkamah untuk membatalkan anugerah sebanyak AS$14.94 bilion, atau RM68.83 bilion oleh Mahkamah Timbang Tara Paris mengukuhkan lagi kedaulatan negeri Sabah.

Keputusan itu, katanya, menyerlahkan keazaman Kerajaan Perpaduan hari ini untuk mempertahankan hak dan aset negara di peringkat antarabangsa.

Seperti mana kata Azalina, keputusan Mahkamah Rayuan Paris juga bermaksud bahawa penuntut tidak lagi boleh bergantung kepada anugerah yang diputuskan di Perancis pada bulan Februari tahun lepas, di mana Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati bahawa penimbang tara Dr Gonzalo Stampa telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.

Pamela berkata, kejayaan ini juga diharapkan dapat menutup kesilapan yang dilakukan kerajaan terdahulu yang diterajui Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana Peguam Negara yang dilantik pada masa itu, Tan Sri Tommy Thomas telah secara tidak langsung “mengiktiraf” tuntutan waris Sulu apabila beliau telah menjawab sepucuk surat kepada peguam waris Sulu pada tahun 2019.

“Kesilapan sedemikian membawa Malaysia kepada masalah hari ini, hingga kedaulatan negara hampir tergugat, dan kegagalan kerajaan pada masa itu untuk menangani isu ini hampir mengorbankan hak dan kedaulatan negeri Sabah.

“Semoga keputusan Mahkamah Rayuan Paris ini dapat menolak tepi semua percubaan pada masa depan oleh pihak yang berniat jahat untuk “mencuri” aset negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast