KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan harga beras tempatan ketika ini kekal pada harga sekitar RM2.60 sekilogram.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga beras putih yang dilaporkan naik lima peratus itu merujuk kepada beras import yang berkualiti tinggi.
“Sekarang ini heboh mengenai beras putih naik harga lima peratus. Saya beri jaminan yang naik itu hanya harga beras import yang berkualiti tinggi, iaitu untuk makanan orang berada.
“Tetapi untuk orang awam, rakyat Malaysia, keadaan beras adalah terjamin di sekitar RM2.60 sekilogram,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang bertanyakan langkah diambil kementerian untuk menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia dan untuk memastikan bekalan bahan makanan penting seperti telur, gula dan beras mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya sedang meningkatkan usaha untuk mencukupkan pengeluaran beras tempatan termasuk melaksanakan ‘Program Smart Sawah’ berskala besar.
“Memang sekarang ini pesawah kebanyakannya dijalankan oleh mereka yang berumur. Dengan konsep berskala besar dan penggunaan teknologi baru, anak muda mula terlibat secara aktif misalnya di Kedah kita lihat pemandu dron semuanya anak-anak muda dan berkelulusan universiti.
“Mereka terlibat secara aktif dalam pertanian dan kita sedang galakkan lagi (penglibatan anak muda ini) dengan memberikan pelbagai insentif,” ujarnya.
Beliau turut yakin Malaysia boleh mencukupkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras jika terus berusaha dengan cara moden dan baru selain kerjasama dalam kalangan penanam padi.
“Sebelum ini pun, stok beras kita mencukupi walaupun dalam keadaan pandemik. Soal beras ini, tak berlaku kekurangan walaupun kadang ada kekurangan di satu dua tempat,” tambahnya. – MalaysiaGazette