Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat maju jaya kepada 10 warlord daripada parti Melayu itu yang berhasrat menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, tindakan itu sudah dijangka berdasarkan kepada tindak-tanduk mereka yang tiada hasrat untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 kali ini.

“Ada soalan yang dibisik kepada saya tentang 10 warlord daripada UMNO yang mungkin ini pertama kali mereka tidak dapat menghadiri diri PAU.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka berhasrat untuk menyertai parti-parti lain, saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya pada sidang media, di Laman Media PAU2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Selasa lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendakwa sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ daripada UMNO dijangka menyertai PN sebelum PRN di enam negeri, kali ini.

Razali mendakwa, antara mereka yang dijangka menyertai gabungan terbabit adalah pemimpin yang disisihkan UMNO.

Tambah Zahid, UMNO akan menyusun gerak kerja dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bukan sahaja mempertahankan kerusi sedia ada bahkan untuk mendapatkan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas sebelum ini.

“Kita bukan hanya regain tetapi yang penting matlamat utama ialah untuk retain kerusi-kerusi yang kita ada.

“Kombinasi antara retain dan regain ini telah kami bincangkan dengan rakan-rakan kongsi politik kita dan Insya-Allah apabila kerusi DUN dibubarkan pada akhir bulan ini

“Saya yakin gerak kerja kita akan bertambah rancak Insya-Allah,” katanya.

Zahid memberi jaminan, keputusan 10 warlord terbabit tidak akan menjejaskan sokongan orang Melayu dan Islam kepada UMNO khususnya menjelang PRN di enam negeri kali ini.

“Sudah beberapa kali keadaan itu berlaku, UMNO Insya-Allah tetap UMNO dan rakyat khususnya orang Melayu dan Islam akan terus menyokong UMNO.
“Tetapi kita mesti melempiaskan soal fitnah, soal mehnah yang dilontarkan oleh mereka yang agak terkesan dengan pilihan raya yang lalu dan PRU15
“Insya-Allah kita ada ketua penerangan baharu, kita ada setiausaha Agung baharu Insya-Allah cara bergerak itu akan berbeza daripada waktu lampau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette