Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) .

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan mempersembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam masa terdekat.

“Kita cadang tarikh pembubaran DUN pada 28 Jun dan kita akan atur perjumpaan dengan TYT (Tun Ahmad Fuzi) bagi menyampai perkara tersebut.

“Tindakan seterusnya akan dilakukan selepas segala urusan berkaitan selesai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Wacana Ilmu Apresiasi Pendidikan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Daerah Timur Laut 2023 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dijangka 10 hari terakhir bulan ini.

Kon Yeow berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh pembubaran tetap selepas mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMK) yang terakhir.

Selain Pulau Pinang, lima negeri lagi akan mengadakan PRN dalam tempoh masa terdekat iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, PH kini menyerahkan keputusan muktamad pengagihan kerusi DUN bersama Barisan Nasional kepada Majlis Presiden.

“Kita di peringkat negeri serahkan keputusan muktamad kepada peringkat kebangsaan.

“Jadi persetujuan daripada pusat adalah  keputusan muktamad,” katanya. – MalaysiaGazette