Dr. Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Sapaan ‘hey’ daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh mengamatkan persidangan sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.

Sapaan itu sebagai peringatan dan amaran beliau kepada pihak tertentu agar tidak retorik dalam berpolitik.

Katanya, ramai dalam kalangan pimpinan parti bercakap hendak adakan konvensyen Melayu, piagam Melayu dan berjuang atas nama Melayu serta Islam, sedangkan niat mereka hanya untuk kekalkan kuasa sahaja.

“Hey, dia tahu tidak masalah sebenar yang berlaku ini? Tak habis-habis bercakap mengenai isu siapa yang lebih Melayu, siapa yang lebih Islam.

“Hey! aku nak bagitahu, orang UMNO jadi jangan bodoh macam tu.

“Hey, kita nak beritahu, Pemuda kali ini berbeza, kita tidak minat lagi nak bercakap pasal politik kekuasaan. Tujuan utama kita adalah bercakap soal survivaliti bangsa Melayu secara holistik,” katanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, di sini, hari ini.

Beliau membuat sapaan itu terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika ini hendak mengadakan Proklamasi Melayu, atas nama untuk menyelamatkan orang Melayu.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, atas dasar itu, beliau menyambut baik seruan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi, yang mahu Pemuda menggerakkan kongres Melayu bagi menghasilkan blueprint Melayu maju.

Katanya, Pemuda sedar, ekonomi Melayu semakin terhimpit berdasarkan perangkaan Rancangan Malaysia ke 12, iaitu sehingga tahun 2019, ekuiti orang Melayu bumiputera hanya sekitar 17.2 peratus, jauh dari sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu pegangan ekuiti sebanyak 30 peratus.

Ujar beliau, sudah tiba masanya, Pemuda mendesak kerajaan mengambil serius mengenai pemerkasaan ekonomi orang Melayu.

“Kita akan memulakan semula blueprint pembangunan orang Melayu yang akan kita lahirkan dari rahim Kongres Melaju Maju ini.

“Kongres ini akan benar-benar bertujuan untuk memajukan Melayu. Kita menggali akar permasalahan untuk merencana pucuk solusi,” katanya. – MalaysiaGazette