KUALA LUMPUR- Presiden Indonesia, Joko Widodo menzahirkan penghargaan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas komitmen Malaysia dalam memperbaiki perlindungan terhadap pekerja Indonesia di negara ini.
Ini termasuk dengan penubuhan mekanisme khusus bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan hak serta akses pendidikan kepada kanak-kanak migran dari Indonesia.
“Saya sangat menghargai komitmen Anwar untuk memperkuatkan perlindungan dan undang-undang yang adil kepada pekerja Indonesia.
“Berikutan itu, saya dan Anwar sepakat untuk membentuk mekanisme khusus bilateral bagi menyelesaikan masalah migran Indonesia,” katanya semasa sidang media di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sempena lawatannya ke Malaysia hari ini.
Selain itu, Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi meminta supaya sebuah pusat pembelajaran komuniti ditubuhkan segera.
Beliau juga memohon supaya warga negara Indonesia yang kini ditahan di Depoh Imigresen segera dipulangkan ke negara itu.
Katanya, sistem satu saluran juga harus dioptimakan.
Terdahulu, Jokowi dan Anwar turut menyaksikan pertukaran dokumen bagi empat instrumen yang dimeterai hari ini bagi memperkasakan hubungan kerjasama kedua-dua negara.
Antara instrumen yang dimeterai ialah membabitkan perjanjian rentas sempadan, perdagangan sempadan, kerjasama promosi dan pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik.- MalaysiaGazette