Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permintaan untuk sistem jana kuasa menggunakan tenaga suria telah meningkat mendadak susulan laporan bahawa kerajaan akan mengurangkan subsidi elektrik untuk golongan T20.

Selain faktor pengurangan subsidi, cuaca yang panas telah menyebabkan penggunaan elektrik melonjak sehingga pengguna berusaha mencari jalan untuk mengurangkan bil elektrik.

Pengasas Plus Energy, Ko Chuan Zhen berkata, kadar tarif elektrik untuk pengguna komersial telah dinaikkan pada tahun lalu dan tahun ini sekaligus mendorong peniaga mencari jalan untuk mengurangkan kos berkenaan.

Beliau berkata, banyak keluarga juga khuatir bil elektrik akan mengalami kenaikan harga terutamanya kerana Malaysia merupakan antara negara Asia Tenggara yang menawarkan kadar bil elektrik paling rendah.

“Kerajaan pasti akan mengurangkan subsidi bil elektrik, ini merupakan keadaan yang tidak dapat dielakkan.

“Persoalannya cuma bilakah tarif elektrik akan dinaikkan,” katanya kepada China Press.

Katanya, sekiranya bil elektrik adalah RM1,000 sebulan, pemasangan panel suria  boleh membawa penjimatan 80 peratus hingga 90 peratus iaitu antara RM800 hingga RM900

“Cadangan kami adalah pemasangan panel suria sesuai untuk keluarga yang mempunyai bil elektrik RM300 ke atas untuk penjimatan elektrik dan wang yang menonjol,” katanya.

Jelasnya, harga pemasangan untuk sistem jana kuasa suria dengan kapasiti 4,000 kWp adalah sekitar RM20,000 dengan jangka hayat penggunaan 30 tahun.

Menurutnya, walaupun kecekapan sistem itu akan menurun setiap tahun, tetapi kebanyakannya masih mempunyai keupayaan 80 peratus selepas 25 tahun. – MalaysiaGazette