GEORGE TOWN – Polis menahan seorang lelaki yang menghalang tugas anggota beruniform itu hingga mengakibatkan kecederaan di tangan dalam kejadian di Lebuh Chulia, di sini, semalam.

Suspek berusia 56 tahun itu dikatakan berada dalam pengaruh alkohol dan terlibat dalam pergaduhan sebelum kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian seorang lelaki tempatan menumbuk muka serta kereta milik orang awam di Lebuh Chulia.

Kata beliau, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis bergegas ke lokasi dan kemudian bertindak menahan suspek.

“Bagaimanapun, suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota tersebut.

“Selain itu, berlaku pergelutan ketika menahan suspek hingga mengakibatkan anggota terbabit mengalami kecederaan di tangan.

“Selepas ditahan, semakan air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Soffian, semakan lanjut mendapati suspek yang beralamat di George Town itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

“Pengganggur itu direman selama empat hari sehingga 11 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, kita minta orang ramai yang melihat kejadian tampil membantu siasatan serta tidak menyebarkan rakaman video berhubung kejadian tersebut di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki dipercayai mabuk bergaduh serta merosakkan kereta milik orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast