KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelawak wanita kelahiran Singapura Jocelyn Chia.
Menurut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), walaupun Singapura memaklumkan individu itu bukan lagi warganegaranya tetapi wanita berkenaan perlu dijejaki dan dihukum mengikut undang-undang negara yang sedang didudukinya kini.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, komen-komen yang dikeluarkan oleh Jocelyn itu sangat menyinggung perasaan rakyat Malaysia dan tidak sepatutnya dilepaskan begitu dengan hanya perkataan ‘maaf’ sahaja.
“Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon Singapura telah menyatakan wanita tersebut bukan lagi rakyat Singapura.
“Sememangnya kita bersetuju dengan cadangan untuk menyekat individu itu daripada memasuki Malaysia yang boleh dilakukan oleh Jabatan Imigresan Malaysia (JIM) namun ini langsung tidak memadai apatah lagi kita berpendapat wanita ini tidak akan berminat untuk datang ke negara ini.
“Kerajaan perlu siasat manakah keberadaan individu ini dan segera mengambil tindakan undang undang kepada wanita tersebut berdasarkan undang-undang di negara berkenaan.
“Ingat ya, pelawak ini menggunakan platform kononnya berlawak semata-mata dengan mewujudkan pemusuhan, ganggu gugat keharmonian serta dan perasan tidak senang terutamanya keluarga mangsa-mangsa MH370,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selain itu, Hishamuddin yang juga seorang penguam mencadangkan supaya kerajaan untuk memulakan tuntutan sivil kepada wanita berkenaan selain menuntutnya membayar pampasan ganti rugi kerana cuba menjatuhkan reputasi negara.
“Kita juga boleh menghantar Nota Bantahan dengan mengunakan saluran diplomatik kepada kerajaan yang telah memberinya kerakyatan supaya satu tindakan tegas di ambil mengikut lunas undang-undang negara itu.
“Kita sangatlah berharap kerajaan akan benar-benar serius dalam menangani isu ini supaya perkara seumpama ini tidak lagi berlaku, wajar ini menjadi tauladan dan peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba ganggu gugat kita,” tegasnya.
Terdahulu, seorang pelawak wanita dipercayai kelahiran Singapura bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.
Menerusi klip video dimuat naik menerusi akaun TikTok, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.
Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. -MalaysiaGazette