Kuala Lumpur Court Complex MACC MEIO case items evidence Hasanah Abdul Hamid
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan anak saudara bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM65,000 daripada warga asing enam tahun lepas.

Selain Naveen Kularasa Rasiah, turut dilepas dan dibebaskan mahkamah ialah bekas pekerjanya, Nico Kam Joo Hoe yang merupakan seorang pemandu van.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi memutuskan demikian selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat bahawa Pejabat Peguam Negara telah menerima representasi kedua-dua tertuduh.

Justeru itu, pendakwaan menarik balik tiga pertuduhan tersebut dengan melepas tanpa membebaskan Kularasa dan Joo Hoe.

Azura kemudian memutuskan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh dan memerintahkan wang ikat jamin berjumlah RM10,000 seorang dikembalikan kepada penjamin masing-masing.

Untuk makluman, pertuduhan pertama, Kularasa dan Joo Hoe didakwa bersama-sama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman iaitu lelaki warga Bangladesh.

Ia sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn Bhd milik lelaki itu yang dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Joo Hoe) berhubung perkara sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette