Najib anugerah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ,Dr Akmal Saleh (kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Pemuda kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwakili oleh anaknya Datuk Mohd Nizar Najib (dua, kiri) dan Datuk Mohd Nazifuddin Najib (dua, kanan) pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 D di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menerima Anugerah Tokoh Pemuda sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2023 di sini, hari ini.

Anugerah tersebut bertujuan menghargai jasa dan sumbangan Najib yang membantu meningkatkan semula sokongan rakyat terhadap UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib kelihatan sebak mewakili bapa mereka menerima trofi anugerah tersebut daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Laungan ‘Bossku’ yang begitu sinonim dengan Najib berkumandang di dalam dewan berkenaan semasa anugerah disampaikan.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO mulai 25 Mei 1988 hingga 1993 dan sebelum itu, beliau memangku jawatan tersebut pada 1987.

Dalam ucapan dasarnya, Dr Akmal mengimbau kembali jasa Najib memperkenalkan dasar Skim Rumah Pertamaku yang membantu ramai rakyat terutamanya golongan beliau memiliki rumah sendiri.

Menurut beliau, skim tersebut menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus dan menjadi satu-satunya skim yang membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan pinjaman sehingga 110 peratus.

“Idea dan jasa Datuk Seri Najib Razak ini telah membantu ramai rakyat terutamanya golongan belia.

“Dari 90 ribu permohonan yang diluluskan, 90 peratus telah diberikan kepada golongan B40 dan belia,” jelasnya. – MalaysiaGazette