Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin antara pemimpin Kerajaan Perpaduan yang hadir ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

KUALA  LUMPUR – Ketika Pergerakan Pemuda UMNO bertegas tidak mahu menjemput mana-mana pimpinan parti politik Kerajaan Perpaduan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang mula bersidang hari ini, dua lagi sayap parti itu mengambil pendirian berbeza.

Pergerakan Puteri UMNO dan Wanita UMNO dilihat menjemput  pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, PKR, Amanah serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sebagai tetamu khas dalam mesyuarat agung tahunan itu.

Antara pimpinan PH yang hadir pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2023 ialah Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

Manakala Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2023 pula dihadiri Timbalan Ketua Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP, yang juga Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ketua Srikandi Keadilan, Anetha Pillai; Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin.

Turut dijemput pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO itu ialah Ketua Biro Wanita Muda PBRS, Datin Stella Bolkin.

Sabtu lalu, Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri sebulat suara tidak menjemput wakil mana-mana parti lain dalam Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Pemuda UMNO sempena PAU2033 pada 7 dan 8 Jun ini.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, keputusan itu dicapai menerusi undian yang telah dibuat. – MalaysiaGazette