KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO- Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan membuktikan parti itu mampu meletakkan kepentingan negara daripada ego dan maruah, kata Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ketua Pergerakan itu berkata perkara itu adalah satu satu hikmah yang dipamerkan UMNO-BN sebagai rakan kerjasama strategik dalam kerajaan perpaduan.
“Tidak pernah kita bayangkan, kita akan menjalinkan kerjasama dengan seteru politik kita. Dalam realiti politik pada hari ini, tidak ada lagi kawan mahupun lawan. Yang ada hanya sekutu atau seteru,” katanya dalam ucapan perasmian Sayap Wanita di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Hikmah kedua kata Noraini adalah kerjasama itu membuktikan UMNO merupakan sebuah parti yang matang, dapat menyesuaikan diri dengan situasi dan keadaan semasa.
“Ketiga, setelah enam bulan dalam kerajaan, UMNO juga telah membuktikan kita adalah komponen penting. Kita memainkan peranan sangat signifikan dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri dengan gandingan Timbalan Perdana Menteri, iaitu Presiden kita hari ini.
“Pemimpin-pemimpin UMNO yang diberi amanah sebagai anggota Kabinet, telah berusaha dengan keras dan ikhlas dalam memperkasakan ekonomi, sosial dan politik rakyat,” katanya lagi.
Akhir sekali, Noraini berkata UMNO tidak perlu takut untuk berbeza pendapat dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.
Jelasnya, sebagai rakan strategik yang baik UMNO telah menjalankan tugasnya dengan memberikan teguran dan kritikan yang membina.
“Berdasarkan pengalaman yang dimiliki, UMNO berjaya memainkan peranan semak dan imbang di dalam kerajaan perpaduan. Ini termasuklah gesaan UMNO kepada Kerajaan dari pelbagai sudut, agar kerajaan menawarkan solusi konkrit terhadap isu-isu rakyat.
“Seperti isu harga barangan kerana ia selari dengan agenda kita selama ini dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar,” tambah Noraini lagi.
Januari lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan lima alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Antaranya, kepemimpinan UMNO berpandangan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan jalan terbaik kerana memberikan UMNO peranan yang unik dan strategik serta mengembalikan semula negara ke jalan sederhana. – MalaysiaGazette