Bersih SPR pemerhati PRN
Tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan diputuskan SPR pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan dibuka mulai 15 Jun ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (petugas pilihan raya, anggota/pegawai SPR dan petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan Kategori 1C (agensi/organisasi) perlu dibuat secara dalam talian di https://myspr.spr.gov.my.

“Bagaimanapun, bagi anggota polis dan tentera di bawah Kategori 1A, kaedah permohonan undi pos dikekalkan secara manual menggunakan Borang 1A yang boleh dimuat turun dari portal https://www.spr.gov.my mulai 15 Jun.

“Borang 1A ini hendaklah diserahkan kepada pegawai pengurus Bahagian Pilihan Raya pemohon mengundi selepas mendapat perakuan oleh ketua jabatan masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos dan digalakkan mendaftar lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah.

Ikmalrudin berkata, tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A ialah tiga hari sebelum hari penamaan calon, Kategori 1B pula ialah tiga hari selepas mesyuarat khas manakala bagi Kategori 1C, enam hari selepas mesyuarat khas.

“Tarikh mesyuarat khas urusan PRN bagi penetapan tarikh-tarikh penting termasuk tarikh tutup permohonan undi pos dalam dan luar negara akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Bagi penghantaran kertas undi pos kepada pengundi tidak hadir (PTH) luar legara, beliau berkata mereka perlu menghubungi SPR bagi menyemak alamat luar negara yang disimpan dalam rekod SPR serta mengemas kini alamat tersebut sekiranya telah berpindah atau telah kembali ke Malaysia.

Menurutnya, PTH luar negara boleh menghubungi talian 03-8892 7218 atau e-mel ke [email protected] selewat-lewatnya pada 23 Jun ini.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh hubungi talian 03-8892 7218 atau 03-8892 7200. – Bernama