Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad bersama Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching pada Persidangan Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menjadi kayu pengukur jatuh bangun parti, kata Wanita UMNO.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, gerak kerja parti tunjang Melayu itu perlu diatur dari sekarang bagi memastikan kejayaan Kerajaan Perpaduan di PRN.

“Pertempuran ini sangat penting. Setelah meneliti ucapan-ucapan daripada pembahas, ramai yang menyentuh mengenai kerjasama UMNO dengan parti-parti lain. UMNO perlu segera menentukan jalur politik yang hendak dibawa,” katanya dalam ucapan penggulungan sayap Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Noraini berkata, gabungan dalam kerajaan perpaduan merangkumi 19 buah parti dan ia merupakan gabungan yang besar dan harus dimanfaatkan.

“Jangan kita sia-siakan. Kita boleh satukan kekuatan setiap gabungan untuk dimanfaatkan bersama. Berbekalkan pengalaman yang pelbagai ini, kita mampu memberi tawaran yang terbaik untuk rakyat dan mengembalikan sokongan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Noraini berkata, parti tidak seharusnya memberikan kerusi tidak boleh menang kepada calon wanita.

“Kerusi ini kita tidak boleh menang, kita letak sahaja calon wanita.

“Tidak boleh begitu, kena bagi kerusi yang boleh menang. Jangan calon lelaki diletakkan di kerusi elok-elok (boleh menang) sahaja, mana yang tidak elok (tidak boleh menang) kasi kepada wanita untuk penuhkan kouta, matilah (calon wanita) macam tu,” katanya sambil disambut ketawa perwakilan di Dewan Merdeka.

Jelas beliau, sekiranya sasaran 30 peratus calon dalam parti dicapai, maka satu dasar yang komprehensif kepada wanita.

“Wanita mesti diperlakukan dengan adil dan kita menaruh harapan yang tinggi kepada wakil-wakil MKT kita untuk mengutarakan sasaran ini,” katanya. – MalaysiaGazette